Thursday 26 February 2009

Lagi refleksi..


Dalam kesibukan menyiapkan esei dan projek akhir semester yang entah bila akan habis, masih sempat untuk saya mencoret buat seketika untuk entri kali ini. Seperti hari-hari biasa, saya sentiasa berlawan dengan masa yang saban hari seakan cemburu dengan rutin harian saya. Banyak sungguh kerja untuk disiapkan, kadang-kadang kepenatan yang teramat sangat sehinggakan mahu saja rebahkan diri di tilam empuk, melelapkan mata barang sesaat untuk melepaskan penat, namun minda asyik saja mengingatkan kepada kerja-kerja, hingga mata terpaksa berjaga. Apakan daya, inilah cabaran yang harus dihadapi sebagai seorang penuntut. Yang penting harus sabar dan tabah hati menerima semuanya. Alhamdulillah, saya masih lagi mampu menghadapi semua ini walaupun kadang kala hati menjerit mahu saja ditamatkan semua ini secepat mungkin. Sudahlah berjauhan dari keluarga, hanya teman-teman pengubat rindu, penghibur hati dikala sunyi. Tapi saya redha dengan pilihan yang telah saya buat 3 tahun yang lalu, tinggal hanya beberapa bulan untuk saya tamatkan pengajian buat sementara waktu. Semoga semuanya bakal berakhir dengan kejayaan, Insya-Allah.

Selepas tamat ijazah pertama, perjuangan diteruskan untuk bidang pendidikan pula, pengajian akan disambung untuk diploma pendidikan. Seterusnya berkhidmat dalam bidang yang sama. Tetapi saya masih agak kesamaran dengan bidang tugas selepas ini, adakah saya bakal mangajar sebagai guru atau berkhidmat di jabatan pendidikan, semuanya akan ditentukan kelak. Saya perlu bersedia dengan apa-apa sahaja jawatan selepas ini. Namun, perjuangan saya bukan tamat setakat itu, Insya-Allah saya akan mencari peluang dan ruang untuk meneruskan pengajian ke peringkat sarjana. Bila berbicara soal masa depan, kadang-kadang saya merasa agak keliru, takut, risau, buntu, walau saya sedar hakikatnya tiada siapa yang tahu tentang masa depan kecuali DIA Yang Maha Mengetahui. Sungguh, manusia hanya mampu merancang, tetapi DIA yang akan menentukan segalanya. Sebagai hamba, kita harus bersedia menerima apa sahaja buruk dan baik yang telah ditentukan, walaupun ianya pahit untuk kita hadapi!

Redha & Sabar adalah penawar hati yang terbaik!

No comments:

Post a Comment