Entah kenapa, tatkala membaca entri Abu Saif mengenai 'Teori Evolusi Cinta', hati ini tiba-tiba terasa amat hiba, sangat tersentuh dengan kata-kata penulis, ayat-ayat dari Tuhan Yang Maha Esa yang berupa suatu peringatan kepada kita mengenai Bani Israel yang menggunakan akal yang dikurniakan oleh-NYA untuk mempermainkan Dia. Samalah kita dengan Bani Israel jika tidak menggunakan akal pada tempat yang sewajarnya. Ibarat daging yang ditusuk duri, begitulah rasa pedih bila mengenangkan kisah lalu yang sentiasa menjadi sempadan buat diri yang lemah. Banyak perkara yang terjadi dalam hidup, saya jadikan refleksi diri. Tidak mahu lagi saya ulangi perkara yang sama untuk kali yang kedua. Cukuplah ia sebagai pengajaran dan sempadan buat diri saya menempuh hari-hari yang sentiasa menjanjikan hanya cabaran dan dugaan, tetapi juga kemanisan buat insan yang mengerti apa itu nikmat Tuhan.
Rasa bersyukur saya panjatkan pada-NYA kerana masih lagi memberi ruang dan peluang untuk saya sentiasa berhijrah, walaupun penghijrahan itu memang sesuatu yang amat perit, memerlukan azam, tekad dan usaha tanpa henti. Terima kasih saya kepada hari-hari semalam yang mengetuk hati dan iman untuk bangun dari kelemahan dan kelalaian diri. Semoga Dia sentiasa memberikan kita kekuatan untuk meluruskan hati dari menjadi mangsa 'Teori Evolusi Cinta'.
1 month ago
No comments:
Post a Comment