Tuesday 21 April 2009

Perancangan perlu fleksibel

Alhamdulillah, setelah agak lama saya menanti, baru hari ini saya berkesempatan untuk menulis serba sedikit perjalanan kehidupan yang sentiasa berubah saban waktu. Entri kali ini berkisarkan situasi yang baru sahaja berlaku hari ini. Walaupun situasi ini agak bersahaja dan barangkali agak sering berlaku dalam kehidupan seharian, tetapi bagi saya ia memberi banyak pengertian. Sesuailah dengan peringatan yang Allah berikan bahawasanya setiap yang berlaku di muka bumi ini pasti tersembunyi hikmah dan pengajaran disebaliknya bagi hamba-Nya yang berfikir.

Situasi ini berlaku sewaktu saya dan rakan serumah baru sahaja keluar untuk 'jogging'. Memandangkan kami bakal melewati perkarangan kampus dan mungkin kami juga akan berkesempatan untuk singgah sebentar di koperasi nanti. Sahabat saya masih berkira-kira sama ada untuk membawa wang atau tidak, dan akhirnya dia membatalkan hasrat untuk membawa sedikit wang dan kami bercadang untuk tidak melalui perkarangan kampus. Jadi kami meneruskan plan beriadah kami seperti yang dihajatkan. Di pertengahan jalan, kami mengubah haluan trek 'jogging' dan tanpa dirancang, kami akhirnya melalui juga kawasan kampus dan bakal melewati koperasi. Sahabat saya menepuk dahinya dan kesal kerana tidak membawa wang bersamanya. Aduhaiii..sayangnya..

Terdetik di fikiran saya saat itu, alangkah baik jika sahabat saya membawa wang bersamanya
tanpa memikirkan sama ada untuk singgah atau pun tidak. Sekurang-kurangnya, dia masih mempunyai peluang untuk mendapatkan apa yang dia mahu dapatkan daripada koperasi. Dan alagnkah baik jika kami membuat perancangan sebelumnya untuk singgah di koperasi terlebih dahulu. Nampak ringkas, tapi padat dengan motif di sebalik kejadian, bagi yang memahami sunnatullah.

Dan kini saya menyedari hakikat bahawa bukan kita sahaja yang membuat perancangan, tapi Allah jua turut merancang setiap apa yang berlaku dalam kehidupan kita. Dan semestinya, perancangan Dia adalah yang lebih sempurna. Dari itu, Tuhan kurniakan kita akal untuk kita berfikir dan merancang setiap pergerakan dan arah perjalanan kita agar lebih berstrategi dan bermatlamat. Ibarat merancang strategi dalam menghadapi peperangan, begitu juga dengan kehidupan kita, perlu lebih teliti dan fleksibel agar matlamat dicapai, badai dapat diharungi dan impian dapat menjadi kenyataan!