Tuesday 10 March 2009

Di sebalik Insan bernama 'Muhammad'..

Entri kali ini saya dedikasikan sempena sambutan maulidur rasul 12 Rabiulawal, kekasih Allah yang amat kita rindui dan cintai, Rasulullah S.A.W. Selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. Entri ini saya ambil dari salah satu komen yang sangat menginsafkan lagi penuh makna, mengingatkan kita tentang betapa mulia dan tingginya keperibadian Baginda S.A.W, yang dipetik dari salah satu artikel daripada Saifulislam.com. Sama-sama kita hayati dengan penuh rasa kehambaan dan keinsafan, moga-moga dapat dijadikan panduan untuk kehidupan sebagai seorang hamba Tuhan Yang Maha Esa dan semoga kita sentiasa berada dikalangan hamba-hamba-Nya yang beruntung.

Di sebalik kehidupan Insan bernama “Muhammad”..

Kalau ada pakaian yang koyak,
Rasulullah menambalnya sendiri tanpa perlu menyuruh isterinya.

Beliau juga memerah susu kambing
untuk keperluan keluarga maupun untuk dijual.

Setiap kali pulang ke rumah,
bila dilihat tiada makanan yang sudah siap di masak untuk dimakan,
sambil tersenyum baginda menyingsing lengan bajunya

Sayidatina ‘Aisyah menceritakan:
”Kalau Nabi berada di rumah,
beliau selalu membantu urusan rumahtangga.

Jika mendengar azan,
beliau cepat-cepat berangkat ke masjid,
dan cepat-cepat pulang kembali sesudah selesai sembahyang.”
untuk membantu isterinya di dapur.

Pernah baginda pulang pada waktu pagi.
Tentulah baginda amat lapar waktu itu.
Tetapi dilihatnya tiada apa pun yang ada untuk sarapan.
Yang mentah pun tidak ada karena Sayidatina ‘Aisyah belum ke pasar. Maka Nabi bertanya,
“Belum ada sarapan ya Khumaira?”
(Khumaira adalah panggilan mesra untuk Sayidatina ‘Aisyah yang berarti ‘Wahai yang kemerah-merahan’)

Aisyah menjawab dengan agak serba salah,
“Belum ada apa-apa wahai Rasulullah.”
Rasulullah lantas berkata,
”Kalau begitu aku puasa saja hari ini.”
tanpa sedikit tergambar rasa kesal di wajahnya.

Pernah baginda bersabda,
“sebaik-baik lelaki adalah yang paling baik dan lemah lembut terhadap isterinya.”

Prihatin, sabar dan tawadhuknya baginda sebagai
ketua keluarga.

Pada suatu ketika baginda menjadi imam solat. Dilihat oleh para sahabat, pergerakan baginda antara satu rukun ke satu rukun yang lain amat sukar sekali. Dan mereka mendengar bunyi menggerutup seolah-olah sendi-sendi pada tubuh baginda yang mulia itu bergeser antara satu sama lain.
Sayidina Umar yang tidak tahan melihat keadaan baginda itu
langsung bertanya setelah selesai bersembahyang :

“Ya Rasulullah, kami melihat seolah-olah tuan menanggung penderitaan yang amat berat, tuan sakitkah ya Rasulullah?”
“Tidak, ya Umar. Alhamdulillah, aku sehat dan segar”
“Ya Rasulullah… mengapa setiap kali tuan menggerakkan tubuh,
kami mendengar seolah-olah sendi bergesekan di tubuh tuan?
Kami yakin engkau sedang sakit…”
desak Umar penuh cemas.
Akhirnya Rasulullah mengangkat jubahnya.
Para sahabat amat terkejut. Perut baginda yang kempis, kelihatan dililiti sehelai kain yang berisi batu kerikil, buat menahan rasa lapar. Batu-batu kecil itulah yang menimbulkan bunyi-bunyi halus setiap kali bergeraknya tubuh baginda.

“Ya Rasulullah! Adakah bila tuan menyatakan lapar dan tidak punya makanan, kami tidak akan mendapatkannya buat tuan?”

Lalu baginda menjawab dengan lembut,
”Tidak para sahabatku. Aku tahu, apa pun akan engkau korbankan demi Rasulmu. Tetapi apakah akan aku jawab di hadapan ALLAH nanti, apabila aku sebagai pemimpin, menjadi beban kepada umatnya?” “Biarlah kelaparan ini sebagai hadiah ALLAH buatku, agar umatku kelak tidak ada yang kelaparan di dunia ini lebih-lebih lagi tiada yang kelaparan di Akhirat kelak.”

Baginda pernah tanpa rasa canggung sedikitpun makan
di sebelah seorang tua
yang penuh kudis, miskin dan kotor.

Hanya diam dan bersabar
bila kain rida’nya direntap dengan kasar oleh seorang Arab Badwi hingga berbekas merah di lehernya.

Dan dengan penuh rasa kehambaan
baginda membasuh tempat
yang dikencingi si Badwi di dalam masjid
sebelum menegur dengan lembut perbuatan itu.

Kecintaannya yang tinggi terhadap ALLAH swt
dan rasa kehambaan dalam diri Rasulullah saw
menolak sama sekali rasa ketuanan.

Seolah-olah anugerah kemuliaan dari ALLAH
tidak dijadikan sebab untuk merasa lebih dari yang lain,
ketika di depan umum maupun dalam keseorangan.

Ketika pintu Syurga telah terbuka,
seluas-luasnya untuk baginda,
baginda masih berdiri di waktu-waktu sepi malam hari,
terus-menerus beribadah,
hingga pernah baginda terjatuh,
lantaran kakinya sudah bengkak-bengkak.
Fisiknya sudah tidak mampu menanggung
kemahuan jiwanya yang tinggi.

Bila ditanya oleh Sayidatina ‘Aisyah,
“Ya Rasulullah, bukankah engkau telah dijamin Syurga? Mengapa engkau masih bersusah payah begini?”

Jawab baginda dengan lunak,
“Ya ‘Aisyah, bukankah aku ini hanyalah seorang hamba? Sesungguhnya aku ingin menjadi hamba-Nya yang bersyukur.”

Friday 6 March 2009

Erti Syukur

Pepatah melayu ada menyebut, 'Jauh berjalan, luas pemandangan'. Pepatah ini amat bertepatan dan sangat benar dengan situasi yang saya alami. Berhijrah ke negeri asing memang banyak membuka minda dan pengetahuan saya tentang dunia, kehidupan, manusia, insan, dan pelbagai lagi aspek dan situasi yang berbeda. Saya melihat pelbagai ragam, budaya rakyat yang berbilang bangsa dan agama. Mungkin ada hikmahnya Allah memberikan saya pilihan untuk berada di sini, berjalan, melihat dan mentafsir setiap kehidupan masyarakat manusia yang sentiasa berubah-ubah saban hari. Mungkin juga Dia mahu menguji sejauh mana kekuatan hati dan iman hamba-Nya yang berdepan dengan pelbagai ragam masyarakat manusia di sini.

2006, masih segar diingatan dan pengalaman yang tidak akan luput yang akan saya bawa untuk menempuh hari-hari depan dengan lebih berhati-hati. Tahun itu juga banyak mengajar saya mengenal dan menghayati erti syukur yang sebenarnya. Syukur kerana saya masih lagi dikurniakan iman. Tanpanya, mungkin saya tidak akan menjadi saya seperti hari ini, atau mungkin saya akan turut goyah dengan pelbagai 'faktor' negatif di depan mata. Hidup di bumi Canterbury, yang amat sinonim dengan gelaran 'Garden of England' dan juga dengan 'Cathedral' yang mendapat jolokan 'The Oldest Church in England'. Gereja Canterbury dibina sebelum perang dunia kedua meletus dan sentiasa dipelihara sehingga ke hari ini. Canterbury city juga merupakan bandar yang majoritinya didiami oleh generasi tua berbanding generasi millenium.

Mungkin disebabkan kedudukan geografinya yang berhampiran Kota London dan suasana yang tenang dari kesibukan bandar. Di sinilah juga iman saya sekali lagi diuji dengan kehadiran seorang paderi wanita yang saya beri nama 'Mary'. Suatu ketika saat saya menanti kehadiran sahabat yang tidak kunjung tiba, tiba-tiba Mary menyapa saya, "Hi! My name is Mary. I am representing St Dunstan's Church in Canterbury. I am just wondering if you like to join us for the talk about living with Christianity," sambung Mary dengan senyuman. Saya agak tersentak dengan pelawaan beliau. Dengan tenang, saya membalas, "Erm..actually, i'm waiting for a friend and we're quite in a hurry. I might join you next time," sambil membalas senyuman beliau. Padahal dalam hati, Tuhan saja yang tahu, perasaan gementar yang cuba saya sembunyikan. Setelah rakan saya tiba, kami terus berlalu meninggalkan Mary dengan lambaian selamat tinggal. Saya berasa agak lega dan tenang setelah meninggalkan tempat itu.



Canterbury Cathedral, juga bakal menjadi tempat konvokesyen kami disini

Namun, panas yang disangka hingga ke petang, rupanya hujan di tengahari. Pertemuan saya dengan Mary tidak berakhir di situ. Kami ditakdirkan bertemu sekali lagi dalam pertemuan yang tidak dirancang. Dalam keadaan yang sama, ketika saya menunggu rakan di perkarangan kampus, Mary datang menyapa dengan senyuman berpanjangan. Kali ini dia cuba memperkenalkan saya dengan suaminya, juga seorang paderi di sebuah gereja di sini. Saya masih teringat Mary membisikkan sesuatu di telinga suaminya sebelum kami berkenalan. Dan dengan tidak semenanya Mary menghadiahkan saya sebuah buku yang mengisarkan tentang seorang perempuan pakistan yang beragama Islam yang murtad dan menukar agamanya kepada Kristian. Buku tersebut tampak baru dan masih belum dibaca. Bukan itu sahaja, beliau juga cuba mengajak saya untuk berbincang mengenai 'Christianity' dan cuba mencari peluang untuk bertemu saya dibilik. Saya sekali lagi terpinga, tidak tahu bagaimana untuk saya menolak. Lantas dengan cepat saya mencari idea untuk cuba menolak pelawaan beliau dengan sebaiknya. Nasib menyebelahi saya kerana pada waktu itu, kami berada dalam musim peperiksaan dan saya memberikan alasan untuk menggunakan sepenuh masa mengulangkaji pelajaran di perpustakaan. Walaupun idea tersebut agak 'clishe' tapi apakan daya. Alhamdulillah saya dapat memboloskan diri dari situasi tersebut sekali lagi.

Setibanya di bilik, saya cuba membelek buku yang diberikan. Seribu satu persoalan bermain di kepala waktu itu. Apakah yang patut saya lakukan, sama ada menyimpan, membaca, atau meletakkan sahaja di perpustakaan. Setelah difikirkan sebaiknya, saya mengambil keputusan untuk membuang sahaja buku itu. Pertemuan saya dengan Mary meniggalkan seribu persoalan tentang diri, pengetahuan saya tentang agama dan bermacam persoalan yang bermain di minda. Saya berterima kasih pada Tuhan Yang Maha Esa kerana mempertemukan saya dengan Mary kerana dengan pertemuan ini banyak mengajar saya untuk melakukan refleksi diri tentang mengapa saya menganuti agama Islam? bagaimanakah yang dikatakan sebagai seorang 'Muslim'?Mengapa saya memerlukan agama Islam dalam kehidupan saya? Dan pertemuan ini juga mengajar saya erti syukur yang sebenarnya. Hari ini, saya berasa amat bertuah dilahirkan dan dibesarkan sebagai seorang Islam. Terima kasih Tuhan kerana masih lagi memberikan nikmat Iman dan Islam dalam hidup saya! Sehingga hari ini, saya masih lagi dalam perjalanan untuk melengkapkan diri dengan sebanyak mana pun ilmu yang mampu saya peroleh. Semoga hari ini lebih baik dari semalam, esok lebih baik dari hari ini!

Thursday 5 March 2009

Mimpi Rasulullah (petikan dari iluvislam.com)

Entri kali ini saya ambil dari website yang memang tidak asing lagi terutama dikalangan pelajar-pelajar di seluruh UK dan Ireland dan semestinya rakan-rakan pelajar di Malaysia juga. Artikel yang saya pinjam dari iluvislam.com ini mengenai mimpi Rasulullah S.A.W yang penuh pengertiaan dan penghayatan bagi sesiapa yang berfikir.

Mimpi adalah sesuatu yang sering dialami oleh setiap manusia terutamanya di waktu sedang tidur. Adakala mimpi itu buruk dan ada pula yang baik. Apabila bermimpi sesuatu yang baik seperti sedang membaca Al-Quran,solat, disanjung orang dan seumpamanya, ucapkanlah syukur dan memuji Tuhan. Sebaliknya jika ia mengerikan dan menakutkan sehingga membuat kita keluh kesah, segeralah mengucap istighfar dan memohon keampunan kepada Allah SWT.

Kadang-kadang mimpi itu akan menjadi kenyataan dan kadang-kadang ianya hanyalah mainan tidur. Ulama-ulama dan wali Allah sering dapat melihat alam ghaib seperti suasana di dalam kubur (seksa dan nikmat) melalui mimpi. Petikan dari sebuah hadis yang telah disebut oleh Imam As Sayuthi, Al Tabrani,Al Hakim At Termizi dan Al Isfahani dalam kitab mereka yang bermaksud:

1) Sesungguhnya aku telah mengalami mimpi yang ajaib malam kelmarin. Aku telah melihat seorang dari umatku telah didatangi oleh Malaikat Maut untuk mengambil nyawa, maka malaikat itu telah terhalang oleh ketaatannya kepada kedua ibu bapanya.

2) Aku melihat juga seorang dari umatku telah disediakan untuk menerima seksa kubur, maka dia telah diselamatkan oleh kesan wuduknya.

3) Aku melihat juga seorang dari umatku sedang dikerumuni oleh syaitan-syaitan, maka ia telah dibebaskan dari bahayanya oleh berkat zikrullah.

4) Aku melihat juga seorang dari umatku diseret oleh Malaikat Azab maka segera muncul solatnya serta melepaskannya dari azab tersebut.

5) Aku melihat juga seorang dari umatku sedang ditimpa dahaga yang teramat sangat, setiap ia mendatangi sesuatu perigi, dihalang untuk meminumnya, maka segera datang puasanya serta memberinya minum hingga ia merasa puas.

6) Aku melihat juga seorang dari umatku yang mengunjungi kumpulan para nabi, yang ketika itu sedang duduk berkumpul-kumpul, setiap kali dia mendekati mereka, dia diusir dari situ, maka menjelmalah mandi junubnya sambil memimpinnya ke kumpulan itu seraya menunjukkan supaya duduk di sisiku.

7) Aku melihat juga seorang dari umatku dikabusi oleh suasana gelap, di hadapannya gelap, di kanannya gelap, di kirinya gelap, di atasnya gelap, di bawahnya juga gelap, sedang ia dalam keadaan bingung. Maka datanglah pahala haji dan umrahnya, lalu mengeluarkan dari suasana gelap-gelita itu lalu memasukkannya ke dalam suasana terang-benderang.

8) Aku melihat juga seorang dari umatku berbicara kepada Mukminin, akan tetapi tidak seorang pun dari mereka yang mahu berbicara dengannya, maka menjelmalah silaturrahimnya seraya menyeru orang-orang itu, katanya:
"Wahai kaum Mukminin sambutlah bicaranya," lalu mereka pun berbicaralah dengannya.

9) Aku melihat seorang dari umatku sedang menepis-nepis bahang api dan percikannya dari mukanya, maka segera datanglah pahala sedekahnya lalu melindungi muka dan kepalanya dari bahaya api itu.

10) Aku melihat juga seorang dari umatku sedang diseret oleh Malaikat Zabaniah ke merata tempat, maka menjelmalah Amar Makruf dan Nahimunkar seraya menyelamatnya dari cengkaman neraka serta menyerahkannya pula kepada Malaikat Rahmat.

11) Aku melihat juga seorang dari umatku sedang merangkak-rangkak, antaranya dengan Tuhan dipasang tabir, maka menjelmalah budi pekerti seraya memimpinnya sehingga dibuka pemisah tadi dan masuklah ia ke hadrat Allah Taala.

12) Aku melihat juga seorang dari umatku terheret ke sebelah kiri oleh buku catatannya, maka menjelmalah perasaan kepada Allah menukarkan tujuan buku catatan itu ke arah kanan.

13) Aku melihat juga seorang dari umatku terangkat timbangannya, maka menjelmalah anak-anaknya yang meninggal sewaktu kecil lalu menekan timbangan itu sehingga menjadi berat.

14) Aku melihat juga seorang dari umatku sedang berdiri di pinggir Jahanam, maka menjelmalah perasaan gerunnya terhadap seksa Allah Taala lalu membawa jauh dari tempat itu.

15) Aku melihat juga seorang dari umatku terjerumus ke dalam api neraka, maka datanglah air matanya yang mengalir kerana takut kepada Allah Taala lalu menyelamatkanya dari api neraka itu.

16) Aku melihat juga seorang dari umatku sedang meniti sirat manakala seluruh tubuhnya bergoncang seperti bergoncangnya dedaun yang ditiup angin, maka menjelmalah baik sangkanya terhadap Allah Taala lalu mententeramkan kegoncangan itu lalu dengan mudah meniti hingga ke hujung titian itu.

17) Aku melihat juga seorang dari umatku sedang meniti atas titian sirat, kadangkala ia merangkak dan kadangkala ia meniarap, maka menjelmalah solat menyeru kepadaku lalu aku memimpin tangannya dan mengajaknya berdiri dan meniti hingga ke penghujung titian itu.

18) Aku melihat juga seorang dari umatku sedang hampir tiba di pintu syurga, tiba-tiba pintu-pintunya ditutup, maka menjelmalah penyaksiannya bahawa tiada Tuhan melainkan Allah lalu membukakan pintu-pintu syurga itu untuknya sehingga ia boleh memasukinya.

19) Aku melihat ada ramai orang yang digunting-gunting lidahnya, maka aku bertanya kepada Jibril siapakah mereka itu, maka Jibril menjawab:
"Mereka itulah orang-orang yang suka 'membawa mulut' ke sana ke mari."

20) Aku melihat juga orang-orang yang digantung dengan lidah-lidah mereka, maka aku bertanya Jibril siapakah mereka itu, maka Jibril menjawab: "Mereka itulah orang-orang yang melempar tuduhan terhadap kaum Mukminin dan Mukminat dengan tuduhan tanpa bukti dan palsu."




**sumber dari laman tripod : http://tazkeerah.tripod.com/usrahcollection.html#MimpiRasulullah

Monday 2 March 2009

Prejudis??

Hati saya terasa hiba, lidah kelu tidak tahu perkataan apa yang patut dilafazkan, mata mula berkaca. Begitulah nak digambarkan perasaan sayu tatkala membaca entri terkini Abu Saif, begitu sukarnya hendak mencari sekelumit ilmu. Melihat pengorbanan sahabat-sahabat beliau, bersusah-payah di bumi Jordan, berjauhan dari keluarga tercinta, saya terasa malu dengan diri sendiri. Walaupun saya juga berjuang menuntut ilmu Tuhan, tapi mungkin saya tidak setabah dan sehebat mereka yang begitu gigih dalam mencari ilmu. Tidak saya nafikan, bukan mudah berada di tempat orang, lebih-lebih lagi di tempat majoriti penduduknya bukan Islam, malah lebih teruk lagi apabila orang-orang Islam dijadikan tempat untuk menuding jari bila mana isu 'terrorist' digembar-gemburkan. Saya tidak tahu mengapa umat Islam di sini sentiasa dipandang serong, nampak sahaja yang berjilbab, yang bertudung, apatah lagi mahu berbicara, bahkan langsung hilang keceriaan di wajah mereka. Segaris senyum dihulur, namun disambut dengan wajah yang bersahaja. Tetapi berbeza pula bagi yang tidak berjilbab dan bertudung, senang sahaja mencari teman baru, walaupun pada hakikat agamanya sama, bahasa ibundanya juga serupa. Yang berbeza hanya tutup kepala. Kadang-kadang saya keliru dengan konsep yang mereka guna pakai. Mungkin bagi mereka pemakaian hanyalah suatu konsep dalam beragama???

Prejudis! mungkin itulah yang paling tepat untuk menggambarkan suasana masyarakat di barat hari ini. Walaupun tidak secara terang-terangan, namun itulah yang saya rasai saban hari tatkala kaki melangkah keluar dari rumah. Hati dan minda saya sentiasa dihantui oleh perasaan berbaur jelek oleh segelintir masyarakat di sini. Mungkin tidak semua yang merasainya, tetapi saya masih dan akan sentiasa dihantui perasaan kurang senang selagi masih berada disini. Mungkin sesetengah berpendapat itu hanyalah perasaan khuatir dan bimbang sahaja, tetapi bila kaki terpijak duri, hanya diri yang terasa bisanya! Bukan semua orang punya pengalaman ini, namun perjalanan selama tiga tahun ini cukup memberi makna dan pengertian hidup buat saya. Banyak sangat perkara yang saya pelajari, bermula dari soal ibadah sehinggalah cara hidup, cara bersahabat dengan teman berlainan agama, fahaman dan budaya yang berbeza. Saya sentiasa mengingatkan diri agar selalu berwaspada dan berhati-hati walau apa sahaja yang dilakukan, termasuklah dalam soal persahabatan! Ingatlah firman Allah S.W.T,

"Wahai orang-orang beriman!Janganlah kamu menjadikan orang-orang Yahudi dan Nasrani sebagai teman setia(mu); mereka satu sama lain saling melindungi.Barangsiapa di antara kamu yang menjadikan mereka teman setia, maka sesungguhnya dia termasuk golongan mereka. Sungguh, Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim." (Al-Ma'idah, 51)