Thursday 28 May 2009

Hari ini dalam sejarah I

Hari ini 28 may 2009 maka berakhirlah sudah episod peperiksaan dan juga keseluruhan episod pengajian saya di universiti tercinta ini. Tanpa saya sedari, pengajian selama hampir empat tahun di bumi hijau Canterbury sudah pun hampir sampai ke detik-detik yang terakhir. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah yang memberikan saya nikmat kekuatan dan kesabaran serta semangat yang tak pernah pudar untuk saya terus berjuang hingga ke akhir. Saya masih ingat tatkala saya menghantar mesej ucapan hari guru serta ingatan buat guru saya yang tersayang, Cikgu Paridah Ali, beliau memberikan saya kata-kata semangat yang amat bermakna dan akan saya semat dihati sampai bila-bila.

"Genggam bara api biar sampai jadi arang!"

Ringkas tapi penuh dengan makna dan segunung harapan. Kata-kata inilah yang menyuntik semangat, membangukan saya dari leka yang panjang untuk saya teruskan sisa-sisa perjuangan menuntut ilmu Tuhan yang Maha luas. Terima kasih yang tak terhingga buat semua guru yang pernah mendidik saya untuk menjadi seorang insan. Jasamu tetap dikenang dan hanya Dia yang dapat membalas segalanya. Saya akui, bukan mudah tugas seorang guru, saban hari saya melihat ibu saya yang juga seorang guru amat keletihan setelah pulang dari sekolah. 'Kesian mama, penat." Getus hati saya setiap kali melihat ibu yang pulang seolah memahami apa yang dirasai. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Sememangnya saya tidak akan dapat rasai apa yang mama rasa. Tapi saya bertuah memiliki ibu seorang guru kerana semangat dan pengalamannya banyak memberi aspirasi untuk saya berada dalam arena ilmu ini.

Semoga Allah membalas segala jasa dan pengorbanan ibu, guru, dan sesiapa sahaja yang pernah berkongsi ilmu dan manfaatnya bersama. Saya doakan kalian sentiasa gembira dan mendapat kehidupan yang paling bahagia di dunia dan akhirat.

Tuesday 19 May 2009

Luahan rasa

Tiba-tiba terasa risau, seolah-olah baru tersedar dari tidur yang panjang..peperiksaan seterusnya hanya tinggal 2 hari saja lagi dan..masih banyak lagi yang belum saya sentuh..

"I'm panicking! I hate exams! I'm stressed!! Intense!! Brain explode!!"

Mungkin ia dapat menggambarkan rasa hati saya pada saat ini. Mungkin juga perasaan rindu yang amat sangat untuk menemui bonda dan ayahanda tak dapat ditampung lagi.. Rasa mahu sahaja pulang ke rumah..saat ini saya amat-amat memerlukan bonda dan ayahanda di sisi..sebagai penguat hati dan diri saya..Rindu teramat sangat! Tapi saya tahu Dia sentiasa ada bersama saya dan kita semua. Saya tak mahu menjadi hamba yang lemah! Kita harus sentiasa bersedia walau apa jua halangan dan ujian dari-Nya. Saya akan terus berusaha selagi jasad dikandung badan, insyaallah..

Monday 18 May 2009

Saya dan psikologi


Saya menulis untuk merehatkan minda seketika, fokus untuk sambung ulangkaji petang ni sudah sampai ke tahap yang memerlukan saya untuk merehatkan diri buat sementara waktu sebelum meneruskan kembali. Saya lebih percaya kepada kata, 'Kuantiti tidak menjamin kualiti'. Bagi saya tiada gunanya saya meneruskan ulangkaji jika minda tidak lagi mahu menerima. Lebih baik saya melakukan aktiviti yang lebih 'ringan' untuk minda saya, menulis entri untuk blog yang agak lama ditinggalkan. Peperiksaan saya masih 3 subjek berbaki. Subjek yang seterusnya amat menarik tapi terlalu berisiko untuk saya memandangkan ia subjek yang baru diperkenalkan tahun ini. Hanya kepada Dia saya memohon agar dipermudahkan segalanya nanti.

Sepanjang setengah hari ini, saya sempat mengulangkaji 2 tajuk yang sangat berbeza dari konteks dan aplikasi tetapi amat menarik untuk dikaji iaitu 'Terror Management Theory' dan 'Applying psychology in Hemi-spatial neglect'. Kedua-dua topik ini daripada 2 cabang psikologi yang berbeza iaitu sosial dan kognitif. Tapi saya rasa terlalu panjang untuk saya jelaskan mengenai kedua-dua isu dalam entri hari ini. Saya perlu manfaatkan lebih masa pada hari ini untuk menelaah. Saya akan sambung mengenai topik ini di entri yang lain. Mungkin selepas tamat episod peperiksaan, insyaallah:)

Satu fakta yang menarik mengenai psikologi yang sempat saya rumuskan sepanjang 3 tahun pengajian, 'There is nothing certain in psychology'. Segalanya berdasarkan kajian yang berpaksikan prinsip dan teori sains yang berasasan logik akal. Jadi , tanggapan umum selama ini yang mengatakan ahli psikologi dapat membaca fikiran manusia hanyalah mitos semata-mata kerana mereka hanya membuat hipotesis dan inferens berdasarkan hasil kajian dari zaman-berzaman. Tetapi, ada kalanya kajian membuahkan hasil yang 'significant' lalu mereka terus mengesahkan hipotesis mereka adalah benar berdasarkan teori kajian. Tapi bagi saya, kajian mereka memang relevan kerana segala kajian bukan dibuat-buat atau dicipta untuk mengelirukan manusia, tetapi ada asas dan bukti dari kajian yang terdahulu. Mereka cuma menterjemahkan dalam bahasa dan pemikiran masing-masing. Konteksnya juga langsung sama. Inilah dunia sains yang dicipta oleh manusia untuk kita sama-sama mengkaji kebesaran dan kehebatan Pencipta Yang Maha Berkuasa dan Maha Mengetahui.

"Yes I studied Psychology..and NO I don't know what you're thinking!"

Monday 11 May 2009

Berakhir episod projek akhir semester, bermula episod imtihan..

Alhamdulillah..syukur saya panjatkan kehadrat Ilahi kerana berakhirnya episod membuat 'courseworks' dan 'final year project'. Allah Maha Besar dalam memberikan saya kekuatan untuk menyiapkan kerja-kerja projek akhir yang pada awalnya saya rasa sangat membebankan. Perjalanan yang saya lalui sepanjang semester akhir ni memang sangat memeritkan, amat meletihkan, dan menguji kesabaran saya. Mana tidaknya, bukan sahaja projek, laporan akhir, essays, dalam masa yang sama saya terpaksa bertungkus-lumus menyiapkan 'mini dissertation' ataupun lebih dikenali dengan 'extended essay'. Panjangnya boleh tahan, bersengkang mata juga saya nak siapkan. Bila dikenang pengalaman lalu, banyak sungguh ujian coursework tahun ni. Secara jujur, tak sempat langsung saya nak buat ulangkaji untuk peperiksaan akhir.

Dan hari ini, saya telah membuktikan pada diri dan anda juga bahawa semua tu tak mustahil kalau kita terus sabar dan berusaha. Jangan mudah putus asa, dan jangan rasa anda lemah sebab kelemahan hanya menjanjikan kegagalan! Walaupun ada 3 hari sahaja lagi untuk saya memulakan kertas peperiksaan pertama, dan saya baru sahaja berkesempatan untuk memulakan ulangkaji, saya akan tetap berusaha dan tak akan putus asa walau apa sekalipun takdir saya. Insyaallah, Allah itu Maha Pemurah dan Maha Adil. Jangan sekali-kali berburuk sangka dengan-Nya. Selagi mana ada jalan, selagi itu kita tetap kena berusaha untuk mengubah nasib diri sendiri. Walau jalan yang itu sukar dan penuh ranjau, itu takdir kita dan kita harus berusaha untuk menempuhi segalanya. Kita akan dapat hasil yang terbaik kalau kita mencuba dengan cara yang terbaik! Doakan kejayaan saya dan rakan-rakan untuk imtihan yang terakhir kali di sini, insyaallah. Saya juga mendoakan kejayaan semua walau apa jua yang dilakukan selagi mana berada di jalan yang benar.