Thursday 28 May 2009

Hari ini dalam sejarah I

Hari ini 28 may 2009 maka berakhirlah sudah episod peperiksaan dan juga keseluruhan episod pengajian saya di universiti tercinta ini. Tanpa saya sedari, pengajian selama hampir empat tahun di bumi hijau Canterbury sudah pun hampir sampai ke detik-detik yang terakhir. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah yang memberikan saya nikmat kekuatan dan kesabaran serta semangat yang tak pernah pudar untuk saya terus berjuang hingga ke akhir. Saya masih ingat tatkala saya menghantar mesej ucapan hari guru serta ingatan buat guru saya yang tersayang, Cikgu Paridah Ali, beliau memberikan saya kata-kata semangat yang amat bermakna dan akan saya semat dihati sampai bila-bila.

"Genggam bara api biar sampai jadi arang!"

Ringkas tapi penuh dengan makna dan segunung harapan. Kata-kata inilah yang menyuntik semangat, membangukan saya dari leka yang panjang untuk saya teruskan sisa-sisa perjuangan menuntut ilmu Tuhan yang Maha luas. Terima kasih yang tak terhingga buat semua guru yang pernah mendidik saya untuk menjadi seorang insan. Jasamu tetap dikenang dan hanya Dia yang dapat membalas segalanya. Saya akui, bukan mudah tugas seorang guru, saban hari saya melihat ibu saya yang juga seorang guru amat keletihan setelah pulang dari sekolah. 'Kesian mama, penat." Getus hati saya setiap kali melihat ibu yang pulang seolah memahami apa yang dirasai. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Sememangnya saya tidak akan dapat rasai apa yang mama rasa. Tapi saya bertuah memiliki ibu seorang guru kerana semangat dan pengalamannya banyak memberi aspirasi untuk saya berada dalam arena ilmu ini.

Semoga Allah membalas segala jasa dan pengorbanan ibu, guru, dan sesiapa sahaja yang pernah berkongsi ilmu dan manfaatnya bersama. Saya doakan kalian sentiasa gembira dan mendapat kehidupan yang paling bahagia di dunia dan akhirat.

No comments:

Post a Comment