Saturday 6 June 2009

Penantian

"Aisyah!! Mana lagi semua student lain? Kan saya dah kata sharp 2.30pm semua pelajar berada di dewan besar! Saya nak awak ke asrama sekarang dan pastikan semua pelajar telah mengosongkan asrama!"

"Er..baik cikgu, saya pergi sekarang!"

langkah saya terus dihayun laju kembali ke asrama. Terkedek-kedek sambil berlari-lari anak.

Jeritan cikgu hashim selaku PK HEM sekolah saya suatu masa dulu masih terngiang-ngiang di telinga. Itulah kali pertama dan terakhir saya ditengking beliau dek kerana pelajar-pelajar lain yang agak lembab bergerak ke dewan besar untuk perhimpunan terakhir kami di sekolah setelah tamatnya peperiksaan SPM. Sudah menjadi agenda tahunan sekolah kami untuk mengadakan majlis "sireh pulang ke gagang". Bunyinya agak pelik, tapi pengalaman disebalik majlis tersebut amat bermakna. Pada majlis itulah semua pelajar SPM dengan rasminya 'diserahkan' kembali ke pangkuan keluarga tersayang setelah 5 tahun berada di sekolah berasrama penuh yang pertama ditubuhkan di kelantan lebih sedekad lalu. Pengalaman berada di sekolah berasrama banyak mengajar saya erti hidup berdikari dan juga erti persahabatan.
Di majlis itu juga meninggalkan suatu pengalaman yang amat bermakna dalam hidup saya setelah dianugerahkan dengan anugerah 'Student of the Year'!

"Penantian itu suatu penyiksaan!"

Luahan hati berbaur marah dan kesal dengan sikap para pelajar yang tidak menepati masa. Seringkali cikgu hashim cuba mengingatkan para pelajar supaya menepati masa kerana masa itu amat berharga dalam kehidupan. Tiada sesiapa pun yang suka menunggu. Apatah lagi jika penantian yang melibatkan urusan peribadi seperti menunggu surat tawaran pekerjaan atau tawaran untuk menyambung pengajian. Saya amat bersetuju dengan ungkapan beliau. Sememangnya saya juga tidak suka menunggu! Tapi, sedarkah kita betapa kita seringkali menyebabkan orang lain menunggu dan ternanti-nanti dalam banyak situasi kehidupan. Sama ada kita sengaja ataupun tidak, situasi sedemikian sentiasa berlaku dalam kehidupan. Jika difikirkan mahu saja segerakan segalanya sepantas kilat tanpa perlu rasa tersiksa dengan penantian.

Tapi, Allah itu Maha mengetahui setiap apa yang Dia lakukan. Walaupun hakikat penantian itu suatu penyeksaan, tapi dalam ketersiksaan itu tersembunyi hikmah yang mungkin tidak pernah kita fikirkan. Contohnya dalam urusan perkahwinan, tempoh masa yang dipersetujui oleh pasangan itu merupakan suatu ruang yang Allah berikan kepada pasangan untuk refleksi dan muhasabah diri sebagai persediaan untuk menuju alam rumahtangga yang sememangnya penuh dengan pelbagai tanggungjawab dan ranjau berduri. Mungkin konotasi 'penantian' dalam situasi ini tidak menepati konsep sebenar tempoh masa yang diberikan untuk mencapai sesuatu, namun saya kira aplikasinya masih relevan.

Walaupun penantian itu mungkin berpunca daripada sikap kita yang berlengah, ataupun mungkin ianya sesuatu yang telah ditentukan tempoh masanya, tapi saya percaya setiap yang telah ditentukan pasti ada rasional disebaliknya, sebagaimana Allah menjadikan setiap sesuatu perkara yang mempunyai hikmah disebalik kejadiannya.

*FIKIR DAN RENUNG*