Thursday 26 February 2009

Lagi refleksi..


Dalam kesibukan menyiapkan esei dan projek akhir semester yang entah bila akan habis, masih sempat untuk saya mencoret buat seketika untuk entri kali ini. Seperti hari-hari biasa, saya sentiasa berlawan dengan masa yang saban hari seakan cemburu dengan rutin harian saya. Banyak sungguh kerja untuk disiapkan, kadang-kadang kepenatan yang teramat sangat sehinggakan mahu saja rebahkan diri di tilam empuk, melelapkan mata barang sesaat untuk melepaskan penat, namun minda asyik saja mengingatkan kepada kerja-kerja, hingga mata terpaksa berjaga. Apakan daya, inilah cabaran yang harus dihadapi sebagai seorang penuntut. Yang penting harus sabar dan tabah hati menerima semuanya. Alhamdulillah, saya masih lagi mampu menghadapi semua ini walaupun kadang kala hati menjerit mahu saja ditamatkan semua ini secepat mungkin. Sudahlah berjauhan dari keluarga, hanya teman-teman pengubat rindu, penghibur hati dikala sunyi. Tapi saya redha dengan pilihan yang telah saya buat 3 tahun yang lalu, tinggal hanya beberapa bulan untuk saya tamatkan pengajian buat sementara waktu. Semoga semuanya bakal berakhir dengan kejayaan, Insya-Allah.

Selepas tamat ijazah pertama, perjuangan diteruskan untuk bidang pendidikan pula, pengajian akan disambung untuk diploma pendidikan. Seterusnya berkhidmat dalam bidang yang sama. Tetapi saya masih agak kesamaran dengan bidang tugas selepas ini, adakah saya bakal mangajar sebagai guru atau berkhidmat di jabatan pendidikan, semuanya akan ditentukan kelak. Saya perlu bersedia dengan apa-apa sahaja jawatan selepas ini. Namun, perjuangan saya bukan tamat setakat itu, Insya-Allah saya akan mencari peluang dan ruang untuk meneruskan pengajian ke peringkat sarjana. Bila berbicara soal masa depan, kadang-kadang saya merasa agak keliru, takut, risau, buntu, walau saya sedar hakikatnya tiada siapa yang tahu tentang masa depan kecuali DIA Yang Maha Mengetahui. Sungguh, manusia hanya mampu merancang, tetapi DIA yang akan menentukan segalanya. Sebagai hamba, kita harus bersedia menerima apa sahaja buruk dan baik yang telah ditentukan, walaupun ianya pahit untuk kita hadapi!

Redha & Sabar adalah penawar hati yang terbaik!

Monday 23 February 2009

Sekadar refleksi diri..

Entah kenapa, tatkala membaca entri Abu Saif mengenai 'Teori Evolusi Cinta', hati ini tiba-tiba terasa amat hiba, sangat tersentuh dengan kata-kata penulis, ayat-ayat dari Tuhan Yang Maha Esa yang berupa suatu peringatan kepada kita mengenai Bani Israel yang menggunakan akal yang dikurniakan oleh-NYA untuk mempermainkan Dia. Samalah kita dengan Bani Israel jika tidak menggunakan akal pada tempat yang sewajarnya. Ibarat daging yang ditusuk duri, begitulah rasa pedih bila mengenangkan kisah lalu yang sentiasa menjadi sempadan buat diri yang lemah. Banyak perkara yang terjadi dalam hidup, saya jadikan refleksi diri. Tidak mahu lagi saya ulangi perkara yang sama untuk kali yang kedua. Cukuplah ia sebagai pengajaran dan sempadan buat diri saya menempuh hari-hari yang sentiasa menjanjikan hanya cabaran dan dugaan, tetapi juga kemanisan buat insan yang mengerti apa itu nikmat Tuhan.

Rasa bersyukur saya panjatkan pada-NYA kerana masih lagi memberi ruang dan peluang untuk saya sentiasa berhijrah, walaupun penghijrahan itu memang sesuatu yang amat perit, memerlukan azam, tekad dan usaha tanpa henti. Terima kasih saya kepada hari-hari semalam yang mengetuk hati dan iman untuk bangun dari kelemahan dan kelalaian diri. Semoga Dia sentiasa memberikan kita kekuatan untuk meluruskan hati dari menjadi mangsa 'Teori Evolusi Cinta'.

Thursday 19 February 2009

Tepuk dada tanya IMAN!

Saya baru sahaja pulang ke bilik, merehatkan badan setelah sepanjang hari bergelumang dengan kerja-kerja untuk projek akhir.Alhamdulilah, hari ini eksperimen berjalan agak baik walaupun pada akhir sesi saya agak menggelabah dek kesuntukan masa, mengingatkan diri yang masih belum menunaikan kewajipan kepada Dia, masa untuk saya pulangkan kembali kunci makmal kepada pegawai teknikal di pejabat sudah pun tiba. Nasib menyebelahi saya, pegawai tersebut baru sahaja menutup kaunter, dan saya dengan tangkas menyerahkan kunci makmal dan meminta maaf atas kelewatan menyerahkan kunci. Dan dia hanya membalas dengan senyuman. Mungkin kelakar agaknya melihat keadaan saya yang tergopoh-gapah sambil membawa beg yang sangat berat berisi komputer riba dan buku serta bahan-bahan eksperimen. Sungguh, ingatkan buat eksperimen ni mudah saja, tapi ternyata amatlah memenatkan, apatah lagi kalau seorang diri. Semua keputusan bergantung kepada diri sendiri! Saya terpaksa berani untuk membuat keputusan walaupun keputusan itu tidak tepat! Itulah cabaran yang paling besar yang saya tempuhi sepanjang semester akhir. Apa sahaja yang dilakukan, natijahnya akan kembali kepada saya.

Kalau kita renungkan, bukan hari ini, ketika ini sahaja kita perlu berani membuat keputusan, tetapi kita seharusnya sentiasa berani membuat keputusan saban waktu, walau siapa pun kita, walau dimana kita berada, kita akan sentiasa membuat keputusan untuk kehiupan. Bermula daripada hendak membeli barang-barang dapur, memilih pekerjaan, dalam perkahwinan, sehinggalah dalam urusan-urusan yang melibatkan masa depan. Tetapi saya hairan dan masih tidak memahami mengapa masih ada di kalangan kita yang mengaku beragama Islam yang masih berkompromi dan 'memilih' dalam soal mempraktikkan agama Islam?? Saya cukup sedih apabila berdiskusi dengan rakan yang tidak beragama Islam, bila mana mereka mempersoalkan segelintir rakan-rakan yang tidak menutup aurat, dengan bahasa yang mudah, tidak memakai 'tudung'..Saya kelu, bingung, sedih, tidak tahu apa yang sepatutnya diluahkan, melainkan saya hanya menyatakan apa yang benar iaitu tiada pilihan dalam pemakaian tudung bagi muslimah, itu adalah perkara wajib bagi umat Islam. Tetapi untuk tidak mengelirukan rakan yang tidak beragama Islam, saya menyatakan mungkin itu cara hidup yang mereka amalkan, dan mungkin setakat itu pemahaman mereka tentang agama, dan mungkin itu juga 'pilihan' mereka, walaupun sebenarnya mereka tidak ada pilihan melainkan mengikut apa yang telah ditetapkan oleh syariat.



Pada saat ini, saya hanya mampu berdoa agar saya dan rakan-rakan senantiasa diberikan taufiq dan hidayah untuk kembali ke jalan yang benar. Semoga kami menjadi dari kalangan hamba-hamba-NYA yang beruntung!

Last but not least, tepuk dada tanyalah iman! Sejauh mana kita memahami dan mendalami agama yang syumul ini, sejauh mana kita mengamalkan apa yang telah diamanatkan, sejauh mana sempurnanya iman dan amal sebagai khalifah di bumi sementara ini...

" Dan katakanlah kepada para perempuan yang beriman, agar mereka menjaga pandangannya dan memelihara kemaluannya, dan janganlah menampakkan perhiasannya (auratnya) kecuali yang biasa terlihat. Dan hendaklah mereka menutup kain kerudung ke dadanya dan janganlah menampakkan perhiasannya, kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau anak lelaki mereka, atau anak lelaki suami mereka, atau saudara lelaki mereka, atau anak lelaki saudara lelaki mereka, atau anak lelaki saudara perempuan mereka, atau para perempuan seislam...." (An-Nur, 31)

Sunday 15 February 2009

Risau..

Perasaan risau, bimbang, don't know what to expect, nervous, gelabah..pelbagai perasaan yang sedang bermain dalam diri ketika ini, mengingatkan hari esok yang bakal saya tempuhi.. Entah kenapa saya begitu bimbang dan risau dengan apa yang berlaku pada esok hari. Padahal semua urusan perjalanan eksperimen setakat ini Alhamdulillah berjalan dengan baik, walaupun tidak begitu sempurna, namun bagi saya ia sudah memadai untuk saya mulakan projek tahun akhir. Mungkinkah disebabkan supervisor akan turut sama turun padang, ataupun mungkin ini perasaan biasa orang yang mahu memulakan sesuatu perkara yang baru..Saya tidak dapat membuat telahan. Namun apa yang saya harapkan semoga semuanya akan berjalan dengan baik sebagaimana yang telah dirancang dan doa semoga Dia permudahkan segala urusan saya esok hari..Amin..

Dalam kerisauan memikirkan hari-hari yang begitu cepat berlalu dan projek akhir ini, sempat saya membaca sebuah artikel mengenai politikus malaysia yang sedang hangat diuar-uarkan di mana-mana sahaja, blog, akhbar, radio, televisyen..saya agak tertarik dengan artikel ini yang menekankan sikap kaum wanita yang kurang mengambil kisah tentang perihal politik malaysia. Artikel benar-benar membuat saya tersentak dan berfikir sejenak. Memang sukar untuk kita mencari blog kaum hawa yang menulis panjang lebar mengenai isu-isu politik negara termasuklah saya! Bukan tidak peduli, tidak risau dengan senario yang berlaku saban hari, malah saya turut mengikuti perkembangan politik di Malaysia, tetapi saya tidak mempunyai hujah dan idea yang bernas untuk membincangkan soal politik di sini, pada saya biarlah orang yang lebih pakar dan tahu membincangkan soal ini dengan lebih terperinci dan lebih informatif.

Saya menyeru diri saya sendiri dan semua terutama kaum hawa, janganlah sekadar melihat dari jauh, tetapi cubalah memberikan cetusan idea dan pandangan yang positif walaupun hanya dengan satu ayat. Itu lebih bermakna daripada omongan kosong yang sia-sia. Moga-moga usaha yang kita sumbangkan itu dapat membawa perubahan kepada orang lain walaupun sedikit!
Kuantiti tidak menjamin kualiti!

Tuesday 10 February 2009

Kenapa malas??

Hari ini merupakan hari termalas sedunia buat saya. Apa tidaknya, saya hanya sekadar membaca beberapa artikel dan lecture slides yang lepas sepanjang hari ini, dan masih lagi belum menyiapkan draf esei yang perlu disegerakan. Mungkin terlalu banyak perkara bermain di kepala, memikirkan persediaan untuk memulakan eksperimen yang juga perlu disegerakan, dan beberapa perkara yang perlu diselesaikan di kampus esok, menghantar email kepada supervisor untuk membuat temu janji dengannya. Saya menjadikan ini sebagai alasan untuk saya bermalasan hari ini, walaupun saya sedar sifat malas ini tidak menjanjikan apa-apa kejayaan. Tetapi entah kenapa serasa sifat ini amat sukar untuk saya elak sejak akhir-akhir ini. Padahal ketika ini saya masih mempunyai banyak tugasan lain yang perlu saya selesaikan selain menyelesaikan projek akhir semester.

Malas berpunca daripada diri kita sendiri dan ia merupakan salah satu sifat yang amat disukai syaitan yang sentiasa membisikkan kejahatan untuk menyesatkan umat manusia. Kerana sifat malas ini, manusia sukar untuk menyelesaikan tugasan dengan sempurna dan seterusnya tidak dapat mencapai standard yang dikehendaki. Banyak sebab mengapa kita malas, antaranya suasana ataupun disebut juga 'environmental factor' yang banyak mendorong kita menjadi malas, selain daripada faktor 'terlebih makan' atau makan terlalu banyak sehingga menyebabkan kita mengantuk dan malas dek kerana terlalu kenyang.

Saya masih teringat pesan junjungan kita Rasulullah s.a.w yang menggariskan salah satu adab ketika makan iaitu berhenti sebelum kenyang. Sungguh Islam itu begitu indah, sehinggakan perkara seperti adab-adab makan turut diberi penekanan yang sama penting. Begitu juga akhlaq Rasulullah s.a.w yang sangat tertib dan sopan dalam apa sahaja yang dilakukan baginda. Saya rasa sungguh beruntung dan amat bersyukur dilahirkan sebagai seorang Islam. Tidak ada agama di dunia sehebat dan secantik Islam yang begitu syumul lagi sempurna.

Monday 9 February 2009

Masa Itu Emas..

Diri rasa terpanggil untuk mencoret sesuatu berkisarkan kepentingan kita menghargai masa, sekadar peringatan dan moga-moga menjadi panduan bersama dalam menghadapi kehidupan. Di waktu saya masih dalam proses-proses terakhir menyediakan projek untuk semester akhir, saya diarahkan oleh 'project supervisor' to upload my project to the system. Alhamdulillah, segala penantian, penat-lelah saya selama satu setengah semester yang lalu akhirnya ketemu destinasinya. Rasa cukup lega dan serabut di kepala rasa makin berkurangan, walau pada hakikatnya tekanan baru sahaja bermula. Insya-Allah, saya akan cuba gagahi untuk menempuhi 'hurdle' yang terakhir ini sebelum bertemu dengan segulung ijazah yang sudah lama dinanti, dengan izin-Nya.

Demi masa..

"Demi masa. Sesungguhnya manusia berada dalam kerugian. Kecuali bagi orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan serta berpesan-pesan kepada kebenaran dan berpesan-pesan kepada kesabaran." (Surah Al-'Asr, ayat 1-3)

Sesungguhnya peringatan ini amat jelas dan bermakna bagi hamba-hamba-Nya yang berfikir. Hari ini saya menyedari betapa berharga dan amat pentingnya masa bagi saya dan untuk sesiapa pun. Setelah siap menaip 'description' eksperimen, saya terus menekan 'link' yang seterusnya untuk menyediakan slot masa eksperimen perlu dijalankan. Wah! bagaimana saya mahu bahagikan masa yang ada untuk menghadiri kelas, 'courseworks' dan eksperimen dalam masa yang sama??..Ketika inilah, saya merasa alangkah indahnya kalau Tuhan sediakan lebih dari 24jam dalam sehari...

Benarlah pesan Rasulullah s.a.w bahawa sebenarnya kita sudah tidak punyai banyak masa untuk mengerjakan bekalan akhirat apatah lagi dengan rutin kehidupan yang sentiasa menuntut komitmen. Ramai orang cuba menyalahkan rutin harian untuk tidak menyempurnakan tuntutan agama. Contohnya, bila tiba waktu solat, ramai yang suka menagguhkan solat atas alasan kerja yang belum selesai. Padahal solat bukanlah mengambil masa yang terlalu lama sehingga boleh mengabaikan tugas dan tanggungjawab lain. Sebaliknya, kalau tiba waktu rehat, berlumba-lumba untuk meninggalkan pejabat dan kerja yang dilakukan demi mengisi perut yang kosong, kerongkong yang dahaga. Tetapi, tidak pula dihiraukan kantung pahala yang kosong, yang sentiasa dahagakan amal ibadah dan kebajikan. Malah kita memenuhkan pula kantung sebelah kiri yang sepatutnya dikurangkan isinya.

Marilah sama-sama kita mengisi masa yang masih ada dengan perkara-perkara yang bermanfaat serta berpesan-pesan kepada kebaikan, kesabaran dalam menjalankan kewajipan kita sebagai hamba-Nya. Moga-moga kita menjadi orang-orang yang beruntung di dunia dan juga di hari akhir nanti.

Tuesday 3 February 2009

Begin with the End in Mind

Saya memulakan penulisan pertama dengan menggunakan tema yang sudah lama dicari , namun berkat usaha dan izin-Nya, Alhamdulillah saya berjaya menemukan suatu tema yang cukup unik, penuh makna tersendiri. Saya meminjam kata-kata ini melalui Saifulislam.com, blog seorang hamba Allah yang saya kira cukup berbakat dalam bidang penulisan apatah lagi ceramah dan 'talks' yang diberikan. Walaupun saya tidak pernah melihat apatah lagi menghadiri ceramah beliau secara 'live', tetapi melalui isi penulisan beliau yang penuh pengertian yang tersirat, saya yakin ceramah yang diberikan akan menambat hati para pendengar walaupun pertama kali mengamatinya. Abu Saif, itulah nama sandaran yang diberikan, seorang insan yang memang dikenali ramai, terutama di kalangan pengunjung blog beliau. Syabas ustaz! Teruskan usaha murnimu menyebarkan pengetahuan dan informasi.

'Begin with the End in Mind', tema yang mempunyai seribu pengertian buat diri ini. Pada saya, setiap perkara yang berlaku dalam kehidupan makhluk pasti mempunyai sebab, musabab dan disertai dengan akibat. Sedar atau tidak, apa-apa yang berlaku semuanya telah ditentukan oleh-Nya, Tuan punya dunia yang abadi. Walaupun kadang kala kita terlalu kecewa, marah dan sedih dengan apa yang berlaku, namun sedarlah bahawasanya setiap yang terjadi, Dia yang tentukan. Sebaliknya, kita harus bersyukur dengan apa jua yang kita hadapi, suka dan duka. Mulakan dan teruskan pengkajian kita terhadap episod kehidupan sama ada yang telah berlalu ataupun yang sedang berlaku. Sesungguhnya, setiap usaha yang kita lakukan, pasti akan ketemui sesuatu di penghujungnya. Besar harapan saya agar permulaan ini akan menjadi suatu perkongsian yang berguna dan diberkati oleh-Nya sehingga di noktah yang terakhir. Terima kasih ustaz kerana menjadi ilham kepada bermulanya suatu perjalanan baru dalam kehidupan insan yang bergelar 'SAYA'.