Thursday 19 February 2009

Tepuk dada tanya IMAN!

Saya baru sahaja pulang ke bilik, merehatkan badan setelah sepanjang hari bergelumang dengan kerja-kerja untuk projek akhir.Alhamdulilah, hari ini eksperimen berjalan agak baik walaupun pada akhir sesi saya agak menggelabah dek kesuntukan masa, mengingatkan diri yang masih belum menunaikan kewajipan kepada Dia, masa untuk saya pulangkan kembali kunci makmal kepada pegawai teknikal di pejabat sudah pun tiba. Nasib menyebelahi saya, pegawai tersebut baru sahaja menutup kaunter, dan saya dengan tangkas menyerahkan kunci makmal dan meminta maaf atas kelewatan menyerahkan kunci. Dan dia hanya membalas dengan senyuman. Mungkin kelakar agaknya melihat keadaan saya yang tergopoh-gapah sambil membawa beg yang sangat berat berisi komputer riba dan buku serta bahan-bahan eksperimen. Sungguh, ingatkan buat eksperimen ni mudah saja, tapi ternyata amatlah memenatkan, apatah lagi kalau seorang diri. Semua keputusan bergantung kepada diri sendiri! Saya terpaksa berani untuk membuat keputusan walaupun keputusan itu tidak tepat! Itulah cabaran yang paling besar yang saya tempuhi sepanjang semester akhir. Apa sahaja yang dilakukan, natijahnya akan kembali kepada saya.

Kalau kita renungkan, bukan hari ini, ketika ini sahaja kita perlu berani membuat keputusan, tetapi kita seharusnya sentiasa berani membuat keputusan saban waktu, walau siapa pun kita, walau dimana kita berada, kita akan sentiasa membuat keputusan untuk kehiupan. Bermula daripada hendak membeli barang-barang dapur, memilih pekerjaan, dalam perkahwinan, sehinggalah dalam urusan-urusan yang melibatkan masa depan. Tetapi saya hairan dan masih tidak memahami mengapa masih ada di kalangan kita yang mengaku beragama Islam yang masih berkompromi dan 'memilih' dalam soal mempraktikkan agama Islam?? Saya cukup sedih apabila berdiskusi dengan rakan yang tidak beragama Islam, bila mana mereka mempersoalkan segelintir rakan-rakan yang tidak menutup aurat, dengan bahasa yang mudah, tidak memakai 'tudung'..Saya kelu, bingung, sedih, tidak tahu apa yang sepatutnya diluahkan, melainkan saya hanya menyatakan apa yang benar iaitu tiada pilihan dalam pemakaian tudung bagi muslimah, itu adalah perkara wajib bagi umat Islam. Tetapi untuk tidak mengelirukan rakan yang tidak beragama Islam, saya menyatakan mungkin itu cara hidup yang mereka amalkan, dan mungkin setakat itu pemahaman mereka tentang agama, dan mungkin itu juga 'pilihan' mereka, walaupun sebenarnya mereka tidak ada pilihan melainkan mengikut apa yang telah ditetapkan oleh syariat.



Pada saat ini, saya hanya mampu berdoa agar saya dan rakan-rakan senantiasa diberikan taufiq dan hidayah untuk kembali ke jalan yang benar. Semoga kami menjadi dari kalangan hamba-hamba-NYA yang beruntung!

Last but not least, tepuk dada tanyalah iman! Sejauh mana kita memahami dan mendalami agama yang syumul ini, sejauh mana kita mengamalkan apa yang telah diamanatkan, sejauh mana sempurnanya iman dan amal sebagai khalifah di bumi sementara ini...

" Dan katakanlah kepada para perempuan yang beriman, agar mereka menjaga pandangannya dan memelihara kemaluannya, dan janganlah menampakkan perhiasannya (auratnya) kecuali yang biasa terlihat. Dan hendaklah mereka menutup kain kerudung ke dadanya dan janganlah menampakkan perhiasannya, kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau anak lelaki mereka, atau anak lelaki suami mereka, atau saudara lelaki mereka, atau anak lelaki saudara lelaki mereka, atau anak lelaki saudara perempuan mereka, atau para perempuan seislam...." (An-Nur, 31)

No comments:

Post a Comment