Showing posts with label general. Show all posts
Showing posts with label general. Show all posts

Tuesday, 10 February 2009

Kenapa malas??

Hari ini merupakan hari termalas sedunia buat saya. Apa tidaknya, saya hanya sekadar membaca beberapa artikel dan lecture slides yang lepas sepanjang hari ini, dan masih lagi belum menyiapkan draf esei yang perlu disegerakan. Mungkin terlalu banyak perkara bermain di kepala, memikirkan persediaan untuk memulakan eksperimen yang juga perlu disegerakan, dan beberapa perkara yang perlu diselesaikan di kampus esok, menghantar email kepada supervisor untuk membuat temu janji dengannya. Saya menjadikan ini sebagai alasan untuk saya bermalasan hari ini, walaupun saya sedar sifat malas ini tidak menjanjikan apa-apa kejayaan. Tetapi entah kenapa serasa sifat ini amat sukar untuk saya elak sejak akhir-akhir ini. Padahal ketika ini saya masih mempunyai banyak tugasan lain yang perlu saya selesaikan selain menyelesaikan projek akhir semester.

Malas berpunca daripada diri kita sendiri dan ia merupakan salah satu sifat yang amat disukai syaitan yang sentiasa membisikkan kejahatan untuk menyesatkan umat manusia. Kerana sifat malas ini, manusia sukar untuk menyelesaikan tugasan dengan sempurna dan seterusnya tidak dapat mencapai standard yang dikehendaki. Banyak sebab mengapa kita malas, antaranya suasana ataupun disebut juga 'environmental factor' yang banyak mendorong kita menjadi malas, selain daripada faktor 'terlebih makan' atau makan terlalu banyak sehingga menyebabkan kita mengantuk dan malas dek kerana terlalu kenyang.

Saya masih teringat pesan junjungan kita Rasulullah s.a.w yang menggariskan salah satu adab ketika makan iaitu berhenti sebelum kenyang. Sungguh Islam itu begitu indah, sehinggakan perkara seperti adab-adab makan turut diberi penekanan yang sama penting. Begitu juga akhlaq Rasulullah s.a.w yang sangat tertib dan sopan dalam apa sahaja yang dilakukan baginda. Saya rasa sungguh beruntung dan amat bersyukur dilahirkan sebagai seorang Islam. Tidak ada agama di dunia sehebat dan secantik Islam yang begitu syumul lagi sempurna.

Monday, 9 February 2009

Masa Itu Emas..

Diri rasa terpanggil untuk mencoret sesuatu berkisarkan kepentingan kita menghargai masa, sekadar peringatan dan moga-moga menjadi panduan bersama dalam menghadapi kehidupan. Di waktu saya masih dalam proses-proses terakhir menyediakan projek untuk semester akhir, saya diarahkan oleh 'project supervisor' to upload my project to the system. Alhamdulillah, segala penantian, penat-lelah saya selama satu setengah semester yang lalu akhirnya ketemu destinasinya. Rasa cukup lega dan serabut di kepala rasa makin berkurangan, walau pada hakikatnya tekanan baru sahaja bermula. Insya-Allah, saya akan cuba gagahi untuk menempuhi 'hurdle' yang terakhir ini sebelum bertemu dengan segulung ijazah yang sudah lama dinanti, dengan izin-Nya.

Demi masa..

"Demi masa. Sesungguhnya manusia berada dalam kerugian. Kecuali bagi orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan serta berpesan-pesan kepada kebenaran dan berpesan-pesan kepada kesabaran." (Surah Al-'Asr, ayat 1-3)

Sesungguhnya peringatan ini amat jelas dan bermakna bagi hamba-hamba-Nya yang berfikir. Hari ini saya menyedari betapa berharga dan amat pentingnya masa bagi saya dan untuk sesiapa pun. Setelah siap menaip 'description' eksperimen, saya terus menekan 'link' yang seterusnya untuk menyediakan slot masa eksperimen perlu dijalankan. Wah! bagaimana saya mahu bahagikan masa yang ada untuk menghadiri kelas, 'courseworks' dan eksperimen dalam masa yang sama??..Ketika inilah, saya merasa alangkah indahnya kalau Tuhan sediakan lebih dari 24jam dalam sehari...

Benarlah pesan Rasulullah s.a.w bahawa sebenarnya kita sudah tidak punyai banyak masa untuk mengerjakan bekalan akhirat apatah lagi dengan rutin kehidupan yang sentiasa menuntut komitmen. Ramai orang cuba menyalahkan rutin harian untuk tidak menyempurnakan tuntutan agama. Contohnya, bila tiba waktu solat, ramai yang suka menagguhkan solat atas alasan kerja yang belum selesai. Padahal solat bukanlah mengambil masa yang terlalu lama sehingga boleh mengabaikan tugas dan tanggungjawab lain. Sebaliknya, kalau tiba waktu rehat, berlumba-lumba untuk meninggalkan pejabat dan kerja yang dilakukan demi mengisi perut yang kosong, kerongkong yang dahaga. Tetapi, tidak pula dihiraukan kantung pahala yang kosong, yang sentiasa dahagakan amal ibadah dan kebajikan. Malah kita memenuhkan pula kantung sebelah kiri yang sepatutnya dikurangkan isinya.

Marilah sama-sama kita mengisi masa yang masih ada dengan perkara-perkara yang bermanfaat serta berpesan-pesan kepada kebaikan, kesabaran dalam menjalankan kewajipan kita sebagai hamba-Nya. Moga-moga kita menjadi orang-orang yang beruntung di dunia dan juga di hari akhir nanti.

Tuesday, 3 February 2009

Begin with the End in Mind

Saya memulakan penulisan pertama dengan menggunakan tema yang sudah lama dicari , namun berkat usaha dan izin-Nya, Alhamdulillah saya berjaya menemukan suatu tema yang cukup unik, penuh makna tersendiri. Saya meminjam kata-kata ini melalui Saifulislam.com, blog seorang hamba Allah yang saya kira cukup berbakat dalam bidang penulisan apatah lagi ceramah dan 'talks' yang diberikan. Walaupun saya tidak pernah melihat apatah lagi menghadiri ceramah beliau secara 'live', tetapi melalui isi penulisan beliau yang penuh pengertian yang tersirat, saya yakin ceramah yang diberikan akan menambat hati para pendengar walaupun pertama kali mengamatinya. Abu Saif, itulah nama sandaran yang diberikan, seorang insan yang memang dikenali ramai, terutama di kalangan pengunjung blog beliau. Syabas ustaz! Teruskan usaha murnimu menyebarkan pengetahuan dan informasi.

'Begin with the End in Mind', tema yang mempunyai seribu pengertian buat diri ini. Pada saya, setiap perkara yang berlaku dalam kehidupan makhluk pasti mempunyai sebab, musabab dan disertai dengan akibat. Sedar atau tidak, apa-apa yang berlaku semuanya telah ditentukan oleh-Nya, Tuan punya dunia yang abadi. Walaupun kadang kala kita terlalu kecewa, marah dan sedih dengan apa yang berlaku, namun sedarlah bahawasanya setiap yang terjadi, Dia yang tentukan. Sebaliknya, kita harus bersyukur dengan apa jua yang kita hadapi, suka dan duka. Mulakan dan teruskan pengkajian kita terhadap episod kehidupan sama ada yang telah berlalu ataupun yang sedang berlaku. Sesungguhnya, setiap usaha yang kita lakukan, pasti akan ketemui sesuatu di penghujungnya. Besar harapan saya agar permulaan ini akan menjadi suatu perkongsian yang berguna dan diberkati oleh-Nya sehingga di noktah yang terakhir. Terima kasih ustaz kerana menjadi ilham kepada bermulanya suatu perjalanan baru dalam kehidupan insan yang bergelar 'SAYA'.