Monday 2 March 2009

Prejudis??

Hati saya terasa hiba, lidah kelu tidak tahu perkataan apa yang patut dilafazkan, mata mula berkaca. Begitulah nak digambarkan perasaan sayu tatkala membaca entri terkini Abu Saif, begitu sukarnya hendak mencari sekelumit ilmu. Melihat pengorbanan sahabat-sahabat beliau, bersusah-payah di bumi Jordan, berjauhan dari keluarga tercinta, saya terasa malu dengan diri sendiri. Walaupun saya juga berjuang menuntut ilmu Tuhan, tapi mungkin saya tidak setabah dan sehebat mereka yang begitu gigih dalam mencari ilmu. Tidak saya nafikan, bukan mudah berada di tempat orang, lebih-lebih lagi di tempat majoriti penduduknya bukan Islam, malah lebih teruk lagi apabila orang-orang Islam dijadikan tempat untuk menuding jari bila mana isu 'terrorist' digembar-gemburkan. Saya tidak tahu mengapa umat Islam di sini sentiasa dipandang serong, nampak sahaja yang berjilbab, yang bertudung, apatah lagi mahu berbicara, bahkan langsung hilang keceriaan di wajah mereka. Segaris senyum dihulur, namun disambut dengan wajah yang bersahaja. Tetapi berbeza pula bagi yang tidak berjilbab dan bertudung, senang sahaja mencari teman baru, walaupun pada hakikat agamanya sama, bahasa ibundanya juga serupa. Yang berbeza hanya tutup kepala. Kadang-kadang saya keliru dengan konsep yang mereka guna pakai. Mungkin bagi mereka pemakaian hanyalah suatu konsep dalam beragama???

Prejudis! mungkin itulah yang paling tepat untuk menggambarkan suasana masyarakat di barat hari ini. Walaupun tidak secara terang-terangan, namun itulah yang saya rasai saban hari tatkala kaki melangkah keluar dari rumah. Hati dan minda saya sentiasa dihantui oleh perasaan berbaur jelek oleh segelintir masyarakat di sini. Mungkin tidak semua yang merasainya, tetapi saya masih dan akan sentiasa dihantui perasaan kurang senang selagi masih berada disini. Mungkin sesetengah berpendapat itu hanyalah perasaan khuatir dan bimbang sahaja, tetapi bila kaki terpijak duri, hanya diri yang terasa bisanya! Bukan semua orang punya pengalaman ini, namun perjalanan selama tiga tahun ini cukup memberi makna dan pengertian hidup buat saya. Banyak sangat perkara yang saya pelajari, bermula dari soal ibadah sehinggalah cara hidup, cara bersahabat dengan teman berlainan agama, fahaman dan budaya yang berbeza. Saya sentiasa mengingatkan diri agar selalu berwaspada dan berhati-hati walau apa sahaja yang dilakukan, termasuklah dalam soal persahabatan! Ingatlah firman Allah S.W.T,

"Wahai orang-orang beriman!Janganlah kamu menjadikan orang-orang Yahudi dan Nasrani sebagai teman setia(mu); mereka satu sama lain saling melindungi.Barangsiapa di antara kamu yang menjadikan mereka teman setia, maka sesungguhnya dia termasuk golongan mereka. Sungguh, Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim." (Al-Ma'idah, 51)

No comments:

Post a Comment