Friday 6 March 2009

Erti Syukur

Pepatah melayu ada menyebut, 'Jauh berjalan, luas pemandangan'. Pepatah ini amat bertepatan dan sangat benar dengan situasi yang saya alami. Berhijrah ke negeri asing memang banyak membuka minda dan pengetahuan saya tentang dunia, kehidupan, manusia, insan, dan pelbagai lagi aspek dan situasi yang berbeda. Saya melihat pelbagai ragam, budaya rakyat yang berbilang bangsa dan agama. Mungkin ada hikmahnya Allah memberikan saya pilihan untuk berada di sini, berjalan, melihat dan mentafsir setiap kehidupan masyarakat manusia yang sentiasa berubah-ubah saban hari. Mungkin juga Dia mahu menguji sejauh mana kekuatan hati dan iman hamba-Nya yang berdepan dengan pelbagai ragam masyarakat manusia di sini.

2006, masih segar diingatan dan pengalaman yang tidak akan luput yang akan saya bawa untuk menempuh hari-hari depan dengan lebih berhati-hati. Tahun itu juga banyak mengajar saya mengenal dan menghayati erti syukur yang sebenarnya. Syukur kerana saya masih lagi dikurniakan iman. Tanpanya, mungkin saya tidak akan menjadi saya seperti hari ini, atau mungkin saya akan turut goyah dengan pelbagai 'faktor' negatif di depan mata. Hidup di bumi Canterbury, yang amat sinonim dengan gelaran 'Garden of England' dan juga dengan 'Cathedral' yang mendapat jolokan 'The Oldest Church in England'. Gereja Canterbury dibina sebelum perang dunia kedua meletus dan sentiasa dipelihara sehingga ke hari ini. Canterbury city juga merupakan bandar yang majoritinya didiami oleh generasi tua berbanding generasi millenium.

Mungkin disebabkan kedudukan geografinya yang berhampiran Kota London dan suasana yang tenang dari kesibukan bandar. Di sinilah juga iman saya sekali lagi diuji dengan kehadiran seorang paderi wanita yang saya beri nama 'Mary'. Suatu ketika saat saya menanti kehadiran sahabat yang tidak kunjung tiba, tiba-tiba Mary menyapa saya, "Hi! My name is Mary. I am representing St Dunstan's Church in Canterbury. I am just wondering if you like to join us for the talk about living with Christianity," sambung Mary dengan senyuman. Saya agak tersentak dengan pelawaan beliau. Dengan tenang, saya membalas, "Erm..actually, i'm waiting for a friend and we're quite in a hurry. I might join you next time," sambil membalas senyuman beliau. Padahal dalam hati, Tuhan saja yang tahu, perasaan gementar yang cuba saya sembunyikan. Setelah rakan saya tiba, kami terus berlalu meninggalkan Mary dengan lambaian selamat tinggal. Saya berasa agak lega dan tenang setelah meninggalkan tempat itu.



Canterbury Cathedral, juga bakal menjadi tempat konvokesyen kami disini

Namun, panas yang disangka hingga ke petang, rupanya hujan di tengahari. Pertemuan saya dengan Mary tidak berakhir di situ. Kami ditakdirkan bertemu sekali lagi dalam pertemuan yang tidak dirancang. Dalam keadaan yang sama, ketika saya menunggu rakan di perkarangan kampus, Mary datang menyapa dengan senyuman berpanjangan. Kali ini dia cuba memperkenalkan saya dengan suaminya, juga seorang paderi di sebuah gereja di sini. Saya masih teringat Mary membisikkan sesuatu di telinga suaminya sebelum kami berkenalan. Dan dengan tidak semenanya Mary menghadiahkan saya sebuah buku yang mengisarkan tentang seorang perempuan pakistan yang beragama Islam yang murtad dan menukar agamanya kepada Kristian. Buku tersebut tampak baru dan masih belum dibaca. Bukan itu sahaja, beliau juga cuba mengajak saya untuk berbincang mengenai 'Christianity' dan cuba mencari peluang untuk bertemu saya dibilik. Saya sekali lagi terpinga, tidak tahu bagaimana untuk saya menolak. Lantas dengan cepat saya mencari idea untuk cuba menolak pelawaan beliau dengan sebaiknya. Nasib menyebelahi saya kerana pada waktu itu, kami berada dalam musim peperiksaan dan saya memberikan alasan untuk menggunakan sepenuh masa mengulangkaji pelajaran di perpustakaan. Walaupun idea tersebut agak 'clishe' tapi apakan daya. Alhamdulillah saya dapat memboloskan diri dari situasi tersebut sekali lagi.

Setibanya di bilik, saya cuba membelek buku yang diberikan. Seribu satu persoalan bermain di kepala waktu itu. Apakah yang patut saya lakukan, sama ada menyimpan, membaca, atau meletakkan sahaja di perpustakaan. Setelah difikirkan sebaiknya, saya mengambil keputusan untuk membuang sahaja buku itu. Pertemuan saya dengan Mary meniggalkan seribu persoalan tentang diri, pengetahuan saya tentang agama dan bermacam persoalan yang bermain di minda. Saya berterima kasih pada Tuhan Yang Maha Esa kerana mempertemukan saya dengan Mary kerana dengan pertemuan ini banyak mengajar saya untuk melakukan refleksi diri tentang mengapa saya menganuti agama Islam? bagaimanakah yang dikatakan sebagai seorang 'Muslim'?Mengapa saya memerlukan agama Islam dalam kehidupan saya? Dan pertemuan ini juga mengajar saya erti syukur yang sebenarnya. Hari ini, saya berasa amat bertuah dilahirkan dan dibesarkan sebagai seorang Islam. Terima kasih Tuhan kerana masih lagi memberikan nikmat Iman dan Islam dalam hidup saya! Sehingga hari ini, saya masih lagi dalam perjalanan untuk melengkapkan diri dengan sebanyak mana pun ilmu yang mampu saya peroleh. Semoga hari ini lebih baik dari semalam, esok lebih baik dari hari ini!

2 comments:

  1. ye ke akak...akak x pernah cite pon..huhu...mintak2 dba x jumpe ngn mary tu...hhuhu...

    ReplyDelete
  2. betul dibah..ni bukan cubaan,ni betul2 nyer..huhu..scary to the max!!

    ReplyDelete