Tuesday 1 September 2009

Rancangan kehidupan manusia

Alhamdulillah saya amat bersyukur tatkala ini kerana hari ni genap 11 Ramadhan seluruh umat Islam di dunia menyambut kedatangan Ramadhan yang penuh barakah dan kemuliaan. Ahlan wasahlan ya Ramadhan! Walaupun agak terlewat sedikit, namun setiap saat dalam bulan mulia ini perlu kita raikan kerana mungkin juga Ramadhan kali ini merupakan Ramadhan terakhir untuk kita? Tiada siapa pun tahu melainkan Dia Yang Maha Mengetahui. Saya juga rasa bersyukur kerana buat kesekian kali akhirnya saya dapat mencuri sedikit masa yang sememangnya tidak pernah mencukupi untuk meluahkan rasa, berkongsi pengalaman hari-hari saya yang makin mencabar. Benarlah apa yang bonda luahkan, sesunggunya dunia perguruan bukanlah suatu tempat untuk seorang guru hanya melepaskan batuk di tangga! lebih-lebih lagi dalam dunia pendidikan khas yang amat berbeza dan lebih menduga iman & kesabaran saya.

Kadang-kadang saya rasa tewas dengan tanggungjawab yang diamanahkan & kemahuan diri yang silih berganti. Masih ada perasaan berbelah bahagi. Ikhlas masih menjadi persoalan utama yang sentiasa bermain dalam fikiran saya. Susahnya nak menjadi seorang insan, pendidik yang benar-benar ikhlas dalam setiap apa yang dilakukan. Sesungguhnya ini adalah pilihan saya dan saya harus tabahkan hati dan kuatkan iman untuk mengharungi setiap dugaan dan cabaran mendatang. Kalian juga perlu kuat dalam mengharungi dunia sebenar yang dinamakan kehidupan. Setiap jalan yang kita pilih, itulah takdir kita dan bersyukurlah dengan apa yang telah ditetapkan oleh-Nya. Sesungguhnya tiada sesuatu pun yang Allah jadikan di bumi ini sebagai sesuatu yang sia-sia. Pastinya tersembunyi rahsia dan hikmah dalam kejadiannya. Saya yakin dan kalian juga perlu yakin!

"...dan Allah jualah sebaik-baik perancang." (Surah Al-Imran,54)

No comments:

Post a Comment