Friday, 6 November 2009

Sunatullah yang satu..

Alhamdulillah...syukur dipanjatkan pada Dia yang masih memberikan peluang pada diri ini untuk menyebut kalimah suci walaupun ia hanyalah satu titik kecil dalam permulaan hariku..masa yang berlalu begitu pantas tanpa kita sedari..tup..tup..dah masuk November..dan saya masih lagi di sini melalui hari-hari yang tersisa ini seperti sedia kala..tiada banyak yang berubah..hanya waktu yang saya rasakan berlalu amat pantas sekali..Subhanallah..banyak perkara yang berlaku sepanjang dua bulan ini..Manusia juga turut berubah, ada yang melakukan penghijrahan dan ada juga yang masih kekal pada titik yang sama..Saya juga turut merasakan arus perubahan walaupun tidak terlalu ketara..Iman dan nafsu sering bertelagah, hanya orang-orang yang mampu yang dapat membimbing hati dan jiwanya ke jalan yang lurus. Walaupun penciptaan manusia adalah dari benih yang sama, mengikut sunatullah yang seiringan namun soal hati dan iman manusia semuanya bersifat individualistik. Cara seseorang membina personaliti dan perwatakan juga tidak serupa. Sungguh penciptaan manusia adalah sesuatu yang amat unik..begitu hebat Yang Maha Esa mencipta adam dan hawa yang memiliki sifat-sifat yang unik dan saling melengkapi antara satu sama lain. Tidak pernah terlintas di fikiran ini bagaimana seseorang individu adalah berbeza daripada seorang individu yang lain padahal asasnya hanya dari dua manusia sahaja. Inilah kehebatan Al-Hakim..Tuhan yang Maha Bijaksana yang telah menjadikan setiap segala sesuatu dengan penuh kehalusan.
Jadi setiap insan perlu sedar dan faham bahawa setiap manusia itu berbeza, walaupun rambut sama hitam, tetapi hatinya belum tentu sama! Bertolak-ansur dan saling memahamilah antara kita untuk mengelakkan persengketaan yang mungkin timbul akibat daripada 'ketidaksediaan' kita menuruti sunatullah yang satu ini.

"Sesungguhnya Kami telah aturkan cara mencipta manusia bermulanya dari air mani yang bercampur (dari pati benih lelaki dan perempuan), serta Kami tetap mengujinya (dengan kewajipan-kewajipan); oleh itu maka Kami jadikan dia berkeadaan mendengar dan melihat". (Al-Insan, ayat 2)

'Human is a unique creature that falls between faith and beliefs'..

Tuesday, 1 September 2009

Rancangan kehidupan manusia

Alhamdulillah saya amat bersyukur tatkala ini kerana hari ni genap 11 Ramadhan seluruh umat Islam di dunia menyambut kedatangan Ramadhan yang penuh barakah dan kemuliaan. Ahlan wasahlan ya Ramadhan! Walaupun agak terlewat sedikit, namun setiap saat dalam bulan mulia ini perlu kita raikan kerana mungkin juga Ramadhan kali ini merupakan Ramadhan terakhir untuk kita? Tiada siapa pun tahu melainkan Dia Yang Maha Mengetahui. Saya juga rasa bersyukur kerana buat kesekian kali akhirnya saya dapat mencuri sedikit masa yang sememangnya tidak pernah mencukupi untuk meluahkan rasa, berkongsi pengalaman hari-hari saya yang makin mencabar. Benarlah apa yang bonda luahkan, sesunggunya dunia perguruan bukanlah suatu tempat untuk seorang guru hanya melepaskan batuk di tangga! lebih-lebih lagi dalam dunia pendidikan khas yang amat berbeza dan lebih menduga iman & kesabaran saya.

Kadang-kadang saya rasa tewas dengan tanggungjawab yang diamanahkan & kemahuan diri yang silih berganti. Masih ada perasaan berbelah bahagi. Ikhlas masih menjadi persoalan utama yang sentiasa bermain dalam fikiran saya. Susahnya nak menjadi seorang insan, pendidik yang benar-benar ikhlas dalam setiap apa yang dilakukan. Sesungguhnya ini adalah pilihan saya dan saya harus tabahkan hati dan kuatkan iman untuk mengharungi setiap dugaan dan cabaran mendatang. Kalian juga perlu kuat dalam mengharungi dunia sebenar yang dinamakan kehidupan. Setiap jalan yang kita pilih, itulah takdir kita dan bersyukurlah dengan apa yang telah ditetapkan oleh-Nya. Sesungguhnya tiada sesuatu pun yang Allah jadikan di bumi ini sebagai sesuatu yang sia-sia. Pastinya tersembunyi rahsia dan hikmah dalam kejadiannya. Saya yakin dan kalian juga perlu yakin!

"...dan Allah jualah sebaik-baik perancang." (Surah Al-Imran,54)

Thursday, 23 July 2009

"Sirih pulang ke gagang"

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Tuhan yang menciptakan langit dan bumi serta sekalian alam semesta. Alhamdulillah syukur saya panjatkan pada Dia yang telah memberikan rahmat dan kekuatan buat diri ini untuk teruskan perjuangan hidup yang entah bila penghujungnya..Serasa hilang sedikit bebanan setelah melalui hari-hari yang penuh dengan ranjau dan onak duri di bumi Canterbury..akhirnya saya selamat pulang ke tanah air tercinta..Dah seminggu saya berada di rumah bersama-sama bonda dan kakanda tersayang. Mengimbas kembali memori 4 tahun yang lalu sebelum ke United Kingdom. Banyak sungguh perkara yang terjadi dalam hidup, suka dan duka silih berganti. Tapi perjuangan bukan berakhir di sini..masih ada lagi baki setahun mendatang sebelum saya melangkah masuk ke alam yang dinamakan "the real world", yakni alam bekerja.

Apa pun kalian doakan kejayaan saya juga di medan perjuangan di bumi Malaysia. Saya juga turut doakan kalian semua agar menjadi orang-orang yang berjaya dan sentiasa mendapat rahmat dan petunjuk ke jalan yang benar, insya-Allah.

Saturday, 6 June 2009

Penantian

"Aisyah!! Mana lagi semua student lain? Kan saya dah kata sharp 2.30pm semua pelajar berada di dewan besar! Saya nak awak ke asrama sekarang dan pastikan semua pelajar telah mengosongkan asrama!"

"Er..baik cikgu, saya pergi sekarang!"

langkah saya terus dihayun laju kembali ke asrama. Terkedek-kedek sambil berlari-lari anak.

Jeritan cikgu hashim selaku PK HEM sekolah saya suatu masa dulu masih terngiang-ngiang di telinga. Itulah kali pertama dan terakhir saya ditengking beliau dek kerana pelajar-pelajar lain yang agak lembab bergerak ke dewan besar untuk perhimpunan terakhir kami di sekolah setelah tamatnya peperiksaan SPM. Sudah menjadi agenda tahunan sekolah kami untuk mengadakan majlis "sireh pulang ke gagang". Bunyinya agak pelik, tapi pengalaman disebalik majlis tersebut amat bermakna. Pada majlis itulah semua pelajar SPM dengan rasminya 'diserahkan' kembali ke pangkuan keluarga tersayang setelah 5 tahun berada di sekolah berasrama penuh yang pertama ditubuhkan di kelantan lebih sedekad lalu. Pengalaman berada di sekolah berasrama banyak mengajar saya erti hidup berdikari dan juga erti persahabatan.
Di majlis itu juga meninggalkan suatu pengalaman yang amat bermakna dalam hidup saya setelah dianugerahkan dengan anugerah 'Student of the Year'!

"Penantian itu suatu penyiksaan!"

Luahan hati berbaur marah dan kesal dengan sikap para pelajar yang tidak menepati masa. Seringkali cikgu hashim cuba mengingatkan para pelajar supaya menepati masa kerana masa itu amat berharga dalam kehidupan. Tiada sesiapa pun yang suka menunggu. Apatah lagi jika penantian yang melibatkan urusan peribadi seperti menunggu surat tawaran pekerjaan atau tawaran untuk menyambung pengajian. Saya amat bersetuju dengan ungkapan beliau. Sememangnya saya juga tidak suka menunggu! Tapi, sedarkah kita betapa kita seringkali menyebabkan orang lain menunggu dan ternanti-nanti dalam banyak situasi kehidupan. Sama ada kita sengaja ataupun tidak, situasi sedemikian sentiasa berlaku dalam kehidupan. Jika difikirkan mahu saja segerakan segalanya sepantas kilat tanpa perlu rasa tersiksa dengan penantian.

Tapi, Allah itu Maha mengetahui setiap apa yang Dia lakukan. Walaupun hakikat penantian itu suatu penyeksaan, tapi dalam ketersiksaan itu tersembunyi hikmah yang mungkin tidak pernah kita fikirkan. Contohnya dalam urusan perkahwinan, tempoh masa yang dipersetujui oleh pasangan itu merupakan suatu ruang yang Allah berikan kepada pasangan untuk refleksi dan muhasabah diri sebagai persediaan untuk menuju alam rumahtangga yang sememangnya penuh dengan pelbagai tanggungjawab dan ranjau berduri. Mungkin konotasi 'penantian' dalam situasi ini tidak menepati konsep sebenar tempoh masa yang diberikan untuk mencapai sesuatu, namun saya kira aplikasinya masih relevan.

Walaupun penantian itu mungkin berpunca daripada sikap kita yang berlengah, ataupun mungkin ianya sesuatu yang telah ditentukan tempoh masanya, tapi saya percaya setiap yang telah ditentukan pasti ada rasional disebaliknya, sebagaimana Allah menjadikan setiap sesuatu perkara yang mempunyai hikmah disebalik kejadiannya.

*FIKIR DAN RENUNG*

Thursday, 28 May 2009

Hari ini dalam sejarah I

Hari ini 28 may 2009 maka berakhirlah sudah episod peperiksaan dan juga keseluruhan episod pengajian saya di universiti tercinta ini. Tanpa saya sedari, pengajian selama hampir empat tahun di bumi hijau Canterbury sudah pun hampir sampai ke detik-detik yang terakhir. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah yang memberikan saya nikmat kekuatan dan kesabaran serta semangat yang tak pernah pudar untuk saya terus berjuang hingga ke akhir. Saya masih ingat tatkala saya menghantar mesej ucapan hari guru serta ingatan buat guru saya yang tersayang, Cikgu Paridah Ali, beliau memberikan saya kata-kata semangat yang amat bermakna dan akan saya semat dihati sampai bila-bila.

"Genggam bara api biar sampai jadi arang!"

Ringkas tapi penuh dengan makna dan segunung harapan. Kata-kata inilah yang menyuntik semangat, membangukan saya dari leka yang panjang untuk saya teruskan sisa-sisa perjuangan menuntut ilmu Tuhan yang Maha luas. Terima kasih yang tak terhingga buat semua guru yang pernah mendidik saya untuk menjadi seorang insan. Jasamu tetap dikenang dan hanya Dia yang dapat membalas segalanya. Saya akui, bukan mudah tugas seorang guru, saban hari saya melihat ibu saya yang juga seorang guru amat keletihan setelah pulang dari sekolah. 'Kesian mama, penat." Getus hati saya setiap kali melihat ibu yang pulang seolah memahami apa yang dirasai. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Sememangnya saya tidak akan dapat rasai apa yang mama rasa. Tapi saya bertuah memiliki ibu seorang guru kerana semangat dan pengalamannya banyak memberi aspirasi untuk saya berada dalam arena ilmu ini.

Semoga Allah membalas segala jasa dan pengorbanan ibu, guru, dan sesiapa sahaja yang pernah berkongsi ilmu dan manfaatnya bersama. Saya doakan kalian sentiasa gembira dan mendapat kehidupan yang paling bahagia di dunia dan akhirat.

Tuesday, 19 May 2009

Luahan rasa

Tiba-tiba terasa risau, seolah-olah baru tersedar dari tidur yang panjang..peperiksaan seterusnya hanya tinggal 2 hari saja lagi dan..masih banyak lagi yang belum saya sentuh..

"I'm panicking! I hate exams! I'm stressed!! Intense!! Brain explode!!"

Mungkin ia dapat menggambarkan rasa hati saya pada saat ini. Mungkin juga perasaan rindu yang amat sangat untuk menemui bonda dan ayahanda tak dapat ditampung lagi.. Rasa mahu sahaja pulang ke rumah..saat ini saya amat-amat memerlukan bonda dan ayahanda di sisi..sebagai penguat hati dan diri saya..Rindu teramat sangat! Tapi saya tahu Dia sentiasa ada bersama saya dan kita semua. Saya tak mahu menjadi hamba yang lemah! Kita harus sentiasa bersedia walau apa jua halangan dan ujian dari-Nya. Saya akan terus berusaha selagi jasad dikandung badan, insyaallah..

Monday, 18 May 2009

Saya dan psikologi


Saya menulis untuk merehatkan minda seketika, fokus untuk sambung ulangkaji petang ni sudah sampai ke tahap yang memerlukan saya untuk merehatkan diri buat sementara waktu sebelum meneruskan kembali. Saya lebih percaya kepada kata, 'Kuantiti tidak menjamin kualiti'. Bagi saya tiada gunanya saya meneruskan ulangkaji jika minda tidak lagi mahu menerima. Lebih baik saya melakukan aktiviti yang lebih 'ringan' untuk minda saya, menulis entri untuk blog yang agak lama ditinggalkan. Peperiksaan saya masih 3 subjek berbaki. Subjek yang seterusnya amat menarik tapi terlalu berisiko untuk saya memandangkan ia subjek yang baru diperkenalkan tahun ini. Hanya kepada Dia saya memohon agar dipermudahkan segalanya nanti.

Sepanjang setengah hari ini, saya sempat mengulangkaji 2 tajuk yang sangat berbeza dari konteks dan aplikasi tetapi amat menarik untuk dikaji iaitu 'Terror Management Theory' dan 'Applying psychology in Hemi-spatial neglect'. Kedua-dua topik ini daripada 2 cabang psikologi yang berbeza iaitu sosial dan kognitif. Tapi saya rasa terlalu panjang untuk saya jelaskan mengenai kedua-dua isu dalam entri hari ini. Saya perlu manfaatkan lebih masa pada hari ini untuk menelaah. Saya akan sambung mengenai topik ini di entri yang lain. Mungkin selepas tamat episod peperiksaan, insyaallah:)

Satu fakta yang menarik mengenai psikologi yang sempat saya rumuskan sepanjang 3 tahun pengajian, 'There is nothing certain in psychology'. Segalanya berdasarkan kajian yang berpaksikan prinsip dan teori sains yang berasasan logik akal. Jadi , tanggapan umum selama ini yang mengatakan ahli psikologi dapat membaca fikiran manusia hanyalah mitos semata-mata kerana mereka hanya membuat hipotesis dan inferens berdasarkan hasil kajian dari zaman-berzaman. Tetapi, ada kalanya kajian membuahkan hasil yang 'significant' lalu mereka terus mengesahkan hipotesis mereka adalah benar berdasarkan teori kajian. Tapi bagi saya, kajian mereka memang relevan kerana segala kajian bukan dibuat-buat atau dicipta untuk mengelirukan manusia, tetapi ada asas dan bukti dari kajian yang terdahulu. Mereka cuma menterjemahkan dalam bahasa dan pemikiran masing-masing. Konteksnya juga langsung sama. Inilah dunia sains yang dicipta oleh manusia untuk kita sama-sama mengkaji kebesaran dan kehebatan Pencipta Yang Maha Berkuasa dan Maha Mengetahui.

"Yes I studied Psychology..and NO I don't know what you're thinking!"